Thursday, 9 June 2011

Pengenalan

Air merupakan unsur yang sangat penting bagi kehidupan. Lebih kurang 70% tubuh manusia terdiri daripada air. Kandungan air di dalam otak 74%, otot 75%, darah 82%, tulang 22%, gigi 5%, hati 69% dan buah pinggang 82%. Manusia boleh hidup berminggu-minggu tanpa makanan tetapi tanpa air akan menyebabkan tubuh menghadapi masalah dehidrasi dan akan mati dalam masa beberapa hari sahaja.

Air juga berperanan bagi merangsang proses bioligikal dan kimia yang berada di dalam tubuh badan. Tanpa air, darah tidak akan mengalir, oksigen dan zat makanan tidak akan dipindahkan, sisa tidak akan dihapuskan dan organ badan tidak akan berfungsi menjalankan proses detoksifikasi yang terdedah kepada unsur toksin serta makanan yang mempunyai kandungan racun. Kebanyakan penyakit berpunca daripada pengaruh toksin yang terdapat di dalam makanan, udara dan di dalam air. Oleh yang demikian manusia amat memerlukan air yang bersih dan dijamin selamat untuk diminum.
Menurut kenyataan FOMCA “Dahulu kita boleh minum air terus daripada pili air. Kini tidak boleh lagi, sebab walaupun air telah dirawat tetapi kerana melalui paip air yang telah usang, maka kekotoran turut masuk ke dalam saluran paip yang disalurkan ke rumah. Ramai pula yang terpaksa memasang penapis air di rumah mereka. Air yang diterima berkelodak, berwarna, berbau dan segala macam lagi”. (Wawancara Buletin FOMCA bersama Encik Marimuthu Nadason Presiden FOMCA – cetakan pertama Januari 2005).
Air yang tidak ditapis berpotensi membawa penyakit dan mengancam kesihatan pengguna terutama kanak-kanak. Bagi menjamin keselamatan pengguna, Persatuan Masyarakat Prihatin Pulau Pinang akan menjalankan Kempen Air Bersih mengujudkan kesedaran kepada masyarakat tentang keperluan pengurusan air bersih, kesan pencemaran air dalam kehidupan disamping mendorong generasi muda menghargai bekalan air bersih dari berlaku pembaziran dan mencintai kebersihan dengan kehijauan alam sekitar.

No comments:

Post a Comment